My Life............sharing is caring!

Sunday, July 16, 2006

15 Faktor Kebahagiaan Rumah Tangga

Sejak tahun 1970-an, golongan muda berpaut pada status bujang selama purata lima tahun lebih lama. Hari ini, menurut Pusat Perangkaan Kesihatan Negara, usia purata bagi wanita untuk berkahwin ialah 28, manakala bagi lelaki, 29.
Keinginan mereka untuk menunggu sering berpunca daripada keperluan “untuk berasa pasti” dengan pilihan pasangan masing-masing. Menunggu sehingga berasa pasti adalah amalan yang elok bagi suatu keputusan sepenting ini. Menurut seorang pakar psikologi yang bekerja dengan ratusan bujang dan pasangan suami isteri, beliau sentiasa kagum dengan bilangan orang yang terjerumus ke alam perkahwinan kemudian hairan mengapa hubungan mereka bertambah pudar dan sengsara atau penuh dengan pertengkaran. Tidak terlintas pun di fikiran mereka untuk membuat keputusan berkahwin secara objektif dan proaktif (sebelum perkahwinan).

Kebanyakan daripada rumah tangga runtuh yang beliau temui sudah bermasalah sejak hari pertama. Mengapa? Kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja.

Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting daripada apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar-sabar melangsungkan perkahwinan sehinggakan mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin memastikan peluang terbaik untuk anda menikmati perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor pemilihan pasangan yang berikut:

1. Pasangan yang berkenalan selama dua tahun atau lebih mempunyai peluang yang nyata lebih baik untuk mendirikan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. Apabila suatu pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan segala-galanya, iaitu perkahwinan, selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, saya kira tentu keputusan mereka lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat. Ia menunjukkan kepada saya bahawa usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rumah tangga telah diringan-ringankan dengan ketara. Malahan, kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan mereka berbanding pasangan yang berkenalan selama jangka masa yang lebih pendek.

2. Orang sering memilih pasangan semata-mata untuk menggembirakan orang lain – ayah, ibu, atau orang yang menyuruh mereka berkahwin – tetapi adalah teramat penting agar orang yang akan berkahwin itu sendiri berasa gembira. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat-handai dan kaum keluarga dengan teliti, tetapi jangan biarkan orang lain memilih pasangan hidup bagi anda.
3. Harapan yang tidak wajar terhadap perkahwinan mungkin menjadi sebab utama bagi kebanyakan perceraian awal. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka akan kekal abadi. Sebenarnya, rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan. Saya telah melihat banyak rumah tangga yang runtuh kerana pasangan mengharapkan kehidupan yang dipenuhi oleh suasana aman tenteram, waktu berdua-duaan di pantai, nikmat cinta berahi dan keseronokan yang tidak henti-henti. Kesemua ini bukan hakikat sebenar.


4. Masalah keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin. Jika terdapat ciri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan – seperti perasaan cemburu, sifat panas baran, sikap tidak bertanggungjawab, sikap tidak jujur dan kedegilan – tanya diri sendiri sama ada anda sanggup menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali, jika pasangan yang sedang dipertimbangkan pernah menghadapi masalah penagihan dadah atau kaki botol ataupun masalah keutuhan seksual, anda sepatutnya memastikan sepenuhnya bahawa dia telah menyelesaikan masalah tersebut jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. Anda perlu mempunyai banyak “pengalaman hidup” bersama teman lelaki / wanita anda. Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun-tahun akan datang. Pasangan hendaklah bersama-sama melalui pelbagai keadaan dan situasi yang diperlukan untuk benar-benar mengenali seseorang. Habiskan masa bersama pasangan anda pada awal pagi dan lewat malam; melalui lalu lintas yang sesak dan melalui jalan desa; semasa waktu-waktu kesusahan dan kesenangan. Kerap kali, mereka akan menunjukkan belang.

6. Bayangan orang yang ingin anda kahwini berpengaruh besar ke atas pilihan anda kelak. Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya, namun ia amat mempengaruhi anda. Oleh itu, adalah teramat penting untuk membayangkan dengan jelas dan nyata, sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang berbagai faktor – penampilan, kepintaran, pendidikan, kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan. Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak, anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. Adalah teramat penting untuk mencari pasangan hidup yang bersifat seakan-akan diri anda sendiri. Untuk pasangan, persamaan sifat adalah umpama wang simpanan dalam bank, manakala perbezaan sifat adalah umpama hutang. Jika anda hendak mendirikan rumah tangga yang bahagia bersama pasangan yang amat berlainan sifatnya daripada anda, anda memerlukan banyak persamaan untuk dijadikan ekuiti tetap dalam akaun anda. Jika tidak, hubungan anda akan muflis pada peringkat awal.

8. Jika orang yang anda kahwini bercita-cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, kemungkinan anda berdua akan kecewa. Adakah anda berazam hendak mendaki tangga korporat manakala pasangan anda berpuas hati setakat bekerja, menerima gaji dan menikmati masa lapangnya? Adakah anda berpuas hati dengan keadaan hidup anda sekarang manakala pasangan anda sentiasa meluru ke hadapan dalam mengejar sesuatu matlamat? Dunia ini memerlukan orang yang bercita-cita tinggi seperti mana ia juga memerlukan orang yang berpuas hati dan bersenang-lenang. Masalah timbul apabila lelaki dan wanita dari hujung spektrum yang berlawanan menjalinkan perhubungan. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar, tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. Kebolehan dua orang untuk saling berhubung adalah penting demi kebahagiaan rumah tangga mereka. Kesejahteraan sesebuah perkahwinan bergantung pada tahap perhubungan suami isteri. Adalah mustahil untuk membayangkan sebuah rumah tangga yang bahagia tanpa dua orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai kemahiran pertuturan dan pendengaran.

10. Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika sebuah pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, rumah tangga mereka mungkin runtuh sama sekali. Pada pendapat saya, lebih banyak rumah tangga yang runtuh kerana suami isteri tidak tahu bagaimana hendak menangani perbezaan diri mereka berbanding mana-mana sebab lain. Kerana inilah menjadi amat penting supaya anda dan pasangan anda menilai kemahiran pendamaian masing-masing sebelum berkahwin.

11. Pasangan hendaklah teguh dalam perkongsian kepercayaan agama dan rohani. Apabila kedua-dua orang peka dari segi kerohanian dan hidup mereka tertumpu pada kepercayaan yang sama, mereka mempunyai asas pembinaan yang kukuh bagi hubungan mereka. Pasangan yang bersama-sama mewujudkan asas kerohanian bagi hidup mereka akan tercantum dan tergabung rapat. Dengan saling mengakui kepercayaan yang paling suci dan paling bermakna kepada setiap pasangan, kedua-duanya mewujudkan titik penghubung yang paling penting sekali.

12. Cinta berahi biasanya pudar dengan ketara dalam jangka masa enam hingga lapan bulan. Keberahian wujud antara dua orang agar mereka saling menumpukan perhatian untuk cukup lama bagi memutuskan sama ada mereka sepatutnya bersama sepanjang hayat. Tarikan hebat yang beransur kurang adalah biasa dan semula jadi. Pada ketika inilah cinta bersimpati menjadi sungguh penting. Cinta bersimpati disifatkan oleh daya ikatan teguh yang berasaskan kasih sayang, kegembiraan semasa bersama-sama, sokongan antara satu sama lain, dan persahabatan akrab. Cinta begini, yang jauh lebih mendalam dan berkembang dengan lebih perlahan berbanding keghairahan hangat membara yang menyifatkan percintaan awal, adalah ramuan yang mujarab bagi hubungan jangka panjang. Malangnya, oleh kerana ini mengambil masa untuk dipupuk, sesetengah pasangan menjadi tidak sabar dan putus harapan terhadap perhubungan mereka.

13. Sikap mempercayai dan boleh dipercayai adalah penting bagi rumah tangga yang bahagia. Sikap mempercayai membolehkan sesuatu pasangan itu bertambah rapat pada waktu-waktu bahagia dan kekal teguh pada waktu-waktu mencabar. Apabila menghadapi kesukaran, pasangan itu tidak akan cemas. Mereka berpaut pada kenyataan bahawa rumah tangga mereka dulunya bahagia dan akan kembali bahagia.

14. Jika anda ingin memahami sifat psikologi pasangan anda, dalami perhubungan kekeluargaannya. Kita semua sangat dipengaruhi oleh ibu bapa kita, dan banyak daripada corak dan cara berhubung yang kita telah belajar daripada keluarga kita sendiri terbawa-bawa ke dalam perkahwinan kita. Saya menyedari bahawa tiada perhubungan ibu bapa dan anak yang sempurna, tetapi kerap kali, anda boleh memperolehi pemahaman yang amat diperlukan dengan memerhatikan cara pasangan anda berhubung dengan ibu bapanya. Adakah dia berbincang mengenai masalahnya atau enggan menghadapinya? Adakah dia berhubung secara terus terang atau dengan mempengaruhi dan mendesak?

15. Pasangan yang saling mencintai berkongsi impian dan rancangan untuk mencapainya. Rumah tangga yang paling bahagia melibatkan dua orang yang mempunyai bayangan yang jelas mengenai kehidupan yang mereka harapkan bersama. Saya dapati pasangan seumpama ini benar-benar gemar bermimpi bersama-sama sambil merancang cara untuk menjadikan impian mereka itu suatu kenyataan. Di tengah-tengah impian dan rancangan ini terletaknya tema yang berulang-ulang: “Aku mahukan masa depan yang bahagia bagimu. Jika ia tidak bahagia bagimu, mustahil ia bahagia bagi kita.” Perkahwinan menyediakan suatu kehidupan di mana kita boleh mengalami kegembiraan dan kepuasan – atau kesedihan dan kekecewaan – yang tidak terhingga.

4 Comments:

Post a Comment

<< Home